Johan As’ari Terpaksa Tangguh Majlis Nikah, Akui Takut Untuk Berkongsi Wajah Kekasih Gara-Gara…

Pelakon Johan As’ari memaklumkan majlis pernikahannya yang sepatutnya berlangsung pada 3 Disember depan bersama wanita yang dikenali sebagai N terpaksa ditangguhkan.

Memetik laporan Harian Metro, dia memohon maaf kerana terpaksa tunda nikah atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

“Sebenarnya ada beberapa hal yang menyebabkan kami tidak dapat meneruskan majlis pernikahan ini dan terpaksa tunda ke awal tahun depan.

“Selain dewan kahwin yang penuh, ada beberapa perkara lain yang saya tak dapat nak kongsikan walaupun segala persiapan sudah mula dibuat.

“Doakan semoga saya cepat kahwin. Hubungan kami okey saja tiada masalah. Cuma saya mohon maaf kerana sebelum ini saya pernah hebahkan akan berkahwin tahun ini tapi saya hanya mampu merancang, Allah yang tentukan,” katanya.

Menurutnya, tarikh rasmi baru untuk menyatukan mereka berdua akan diberitahu kelak.

Berkenaan dengan wajah kekasih hatinya itu, dia terbuka untuk berkongsi kepada umum selepas berkahwin.

“Perkahwinan bukan untuk dirahsiakan. Jadi saya akan beritahu kepada peminat dan rakan media yang sudi untuk datang ke majlis kami nanti. Saya tidak akan sorok.

“Begitu juga dengan wajah kekasih selepas kami berkahwin nanti. Saya akan kerap kongsikan wajahnya dengan lebih kerap nanti.

“Walaupun saya yakin dia bakal menjadi suri hati saya, tapi dalam masa sama saya takut untuk tonjolkan selagi dia belum sah bergelar isteri.

“Lagipun pengalaman mendewasakan saya. Menerusi perhubungan sebelum ini saya terlalu teruja berkongsi, sehingga akhirnya berasa malu kerana hubungan itu berakhir dengan perpisahan.

“Satu lagi saya lebih nak menjaga hati dan privasi pasangan. Sebab itulah saya jarang kongsi wajahnya,” katanya.

Terdahulu, Johan memberitahu menjalinkan hubungan istimewa dengan wanita dikenali N selama lima tahun dan berharap akan berkahwin tahun ini.

Maya Basir