‘Jumpa Artis Lama Pun Tak Hormat’- Boy Iman Tempelak Pelakon Baru Nak ‘Up’

“ Saya perhati saja pelakon baru nak ‘up’ ini. Berlakon pun macam kayu. Harap pengikut ramai di IG (Instagram) dan media sosial,” demikian luah pelakon dan produser Datuk Boy Iman terhadap segelintir artis meningkat naik.

Menurut Boy Iman atau atau nama sebenarnya, Noruliman A Rahman dia terkilan dengan sesetengah sikap pelakon baru popular yang tidak menghormati artis senior.

“ Jumpa artis lama pun tak hormat. Nasib baiklah saya produser ada gelaran Dato’ dan Paduka Ayahanda’. Kalau tak dengan saya dia ‘langgar’ dan berlagak.

“ Kalau bukan kerana mereka, awak bukan siapa-siapa. Apa pun, saya nak ingatkan industri ini kecil dan bermusim. Ada masa awak di atas dan ada masa awak di bawah,” katanya.

Produser filem Blok 404 ini juga berkongsi kisah sewaktu dia berada di puncak populariti sekitar 19 tahun lalu.

“ Waktu itu, dia (peminat) masih bersekolah dan mengaku undi saya dan paksa kawan, keluarga dan saudara-mara undi saya untuk menang atau tercalon dalam Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2002.

“Masa ini zaman kegemilangan saya dan menjadi rebutan produser, pengarah dan rakan media. Rebutan gadis tak payah cakaplah,” katanya.

Boy Iman turut mengakui dia pernah membuat kesilapan sewaktu di awal kemunculan dalam bidang lakonan. 

“Umur 22 tahun masuk Top 5. Walaupun tidak menang tetapi ia satu pencapaian hebat ketika itu tanpa ada media sosial dan kelab peminat rasmi.

“Sebab itu saya tak hairan dengan budak (pelakon) baru nak ‘up’ ni. Baru berlakon satu, dua drama, lepas itu ‘meletup’ sudah ‘kerek’ dengan kita artis senior,” katanya.

Sementara itu, dia turut berpesan kepada sesetengah pelakon dimaksudkan agar bersedia dengan kemungkinan pada masa akan datang dengan mencari ilmu.

“ Bersedialah dengan apa yang patut apabila sudah tidak laku dan tiada peminat. Jangan pada masa itu tiada apa-apa,” katanya yang bersyukur dirinya masih mendapat tawaran berlakon dan bergelar produser pada masa ini.

SGMS Faida