Kaka Azraff Dedikasi Lagu Untuk Suami

Tahun 2018 pastinya tahun yang paling sibuk buat penyanyi Pop R&B wanita terkenal Kaka Azraff. Selain daripada muncul dengan single ‘Sibuk’, Kaka turut mengeluarkan lagu ‘Shout It Out’ sebuah lagu OST filem ‘Gol & Gincu Vol. 2’ dan berduet bersama penyanyi Maya Karin dalam lagu berjudul ‘Getaway’.

Namun semenjak bergelar isteri pada 14 Disember tahun lalu, penyanyi yang mesra disapa sebagai Kaka sibuk diulit bahagia bersama suami Adam Azriff. Tatkala baru sahaja menjalani kehidupan barunya sebagai isteri, Kaka mengumumkan pula dirinya telah berbadan dua pada Mei lalu.

Perasaan Kaka yang sedang mengecap bahagia dalam melayari kehidupan berumah tangga dan membina keluarga bersama lelaki tercinta, itulah yang cuba digambarkannya melalui single terbarunya “Diamonds”.

“Diamonds” merupakan ciptaan sepenuhnya komposer dan rapper tersohor Alif yang turut bertindak selaku penerbit rakaman lagu ini. Sebagaimana lazimnya sentuhan magis Alif, diberi gubahan  muzik yang ‘catchy’ dan sarat dengan melodi yang mesra telinga.

Mengulas tentang single “Diamonds”  ini, Kaka berkata, “Pada saya lagu ini tentang luahan rasa seseorang isteri itu mensyukuri nikmat bahagia yang dikecapinya. Dicintai, dibelai dan diberi perhatian sepenuhnya oleh suami.

“Sebagaimana yang saya rasakan sejak bergelar isteri ini. Saya bersyukur dikurniakan suami seperti Adam dan berharap agar kebahagiaan yang kami rasakan ini akan kekal selamanya walaupun sudah beranak pinak, bercucu cicit nanti. Lagu ini lagu cinta saya untuk Adam.

Penyanyi yang bakal menyambut kelahiran anak sulung mereka pada Oktober ini turut berharap agar lagu ini mendapat sambutan positif peminat.

“Diamonds” merupakan single terbitan dan edaran Warner Music Malaysia. Single ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 6 September 2019. 

SGMS Faida