‘Kekuatan Saya Terletak Pada Lagu Macam Ini’- Andi Bernadee

Penyanyi Andi Bernadee mengaku mahu kekalkan membawa lagu-lagu berentak Reggae untuk projek seterusnya.

Selepas kejayaan single ‘Satu Peluang’ dan terbaharu ‘Donde’, penyanyi berusia 28 tahun bersyukur apabila dua single nyanyiannya mendapat tempat di hati peminat.

“ Sejak Satu Peluang mendapat tempat dan sering diputarkan di radio, saya mula sedar lagu berentak begini rupanya terletak kekuatan saya.

“ Besar kemungkinan, saya mahu hasilkan lagu-lagu sebegini lagi untuk projek seterusnya. Terima kasih buat Aliff yang sudi bekerjasama dengan saya dalam menghasilkan Donde yang memudahkan laluan saya dalam dunia nyanyian,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran BB Cushion Shalicious Empire bertempat di Hotel W, petang tadi.

Pemilik nama sebenar Andi Azrul ini turut menafikan dakwaan menyanyikan lagu ‘ciplak’.

“ Saya tak kisah apa orang nak cakap, saya tahu apa yang saya buat. Kalau mereka nak terus berkata, silakan. Saya dan Aliff bertungkus lumus menyiapkan lagu Donde dan ingin saya tegaskan lagu ini bukan diciplak dari mana-mana lagu lain,” katanya.

Terdahulu, Andi pernah mengeluarkan lagu Tiada Lagi Maaf, Semalam Sahur Di Mana dan Satu Peluang.

SGMS Faida