“Ketika Rakan Mangsa Hendak Menghantar Minyak Masak…” – Pelakon Popular Direman 3 Hari Tumbuk & Tendang Penghuni Kondominium

Disyaki menumbuk dan menendang seorang lelaki di sebuah kondominium di Segambut kelmarin, seorang pelakon lelaki sensasi berusia pertengahan 30-an ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini.

Memetik laporan BH Online, suspek yang juga penghuni di kondominium sama dilaporkan melakukan perbuatan terbabit kepada seorang penduduk di kondominium sama dalam kejadian pada jam 8.30 malam, Khamis lalu.

Suspek yang pernah membolosi kelompok Top 5 bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34 akan direman sehingga Isnin ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, insiden terbabit terjadi ketika mangsa dilaporkan meminta tolong rakannya untuk membeli minyak masak di luar kawasan kediaman berkenaan.

“Ketika rakan mangsa hendak menghantar minyak masak yang dipesan, dia bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke kawasan kondominium berkenaan oleh pengawal keselamatan di situ sebelum memaklumkan perkara terbabit kepada mangsa,” katanya.

Menurut Habibi, mangsa kemudian turun ke kawasan lif lobi kondominium itu sebelum bertanya punca rakannya tidak dibenarkan masuk untuk menghantar minyak masak yang dipesan.

“Kita percaya ketika itu berlakunya pertengkaran mulut antara mangsa dan pengawal keselamatan terbabit sebelum artis lelaki yang juga suspek tiba-tiba datang dan menumbuk serta menendang mangsa.

“Mangsa mendakwa suspek menumbuk dan menendangnya di bahagian muka, dada serta perut dan belakang badan, selain mencekik dan mengugut akan membunuhnya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum Bahagian Siasatan Jenayah, Polis Daerah Sentul, memberkas suspek di kediaman sama malam semalam.

Sumber: BH Online

Padin