“Maaf Kami Terpaksa ‘Kunci Mulut’ Sebab…” – Pegang Amanah Arwah, Ani Maiyuni Dedah Punca Adibah Noor Susut

Kehilangan penyanyi berbakat besar, Adibah Noor bukan sahaja dirasai oleh jutaan peminatnya tetapi juga rakan terdekat Allahyarham.

Menurut penyanyi Ani Mayuni, beliau memohon maaf kerana terpaksa merahsiakan penyakit yang dialami oleh pelantun lagu Terlalu Istimewa itu kerana perlu berpegang pada amanah yang diberikan.

“Maaf kami terpaksa rahsiakan sebab sebelum ini Kak Dib (Adibah) ada beritahu saya dan beberapa rakan yang bersaing dalam sebuah program realiti di stesen televisyen berbayar.

“Saya tak boleh bercerita kepada semua orang berkenaan penderitaan arwah. Dia sakit selepas habis pertandingan itu dan semasa kita nak shooting program terbabit untuk edisi raya, selepas itu dia mula demam on and off,” katanya.

Justeru itu, selepas arwah dimasukkan ke wad dalam tempoh yang agak lama, Ani memberanikan diri bertanya secara peribadi sehinggalah Adibah mendedahkan yang beliau sebenarnya menghidap kanser dan baru sahaja selesai menjalani pembedahan.

Atas sebab itu, Adibah terpaksa berpantang dan mengambil rehat serta tidak mahu menerima mana-mana tetamu.

“Selepas itu lama dia warded dan kenapa dia tak keluar-keluar kita ingatkan Covid-19.

“Bila saya tanya dia secara peribadi, baru dia beritahu yang dia dapat tahu yang dia ada kanser dan baru lepas pembedahan masa itu.

“Apa yang orang nampak dia kurus adalah show pertama selepas rehat,” jelasnya.

Pernah berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris, Adibah terkenal sebagai seorang selebriti serba boleh yang menggalas pelbagai tugas seperti penyanyi, pelakon, pengacara, penyampai radio dan penulis lirik.

Adibah pernah meraih trofi kemenangan Anugerah Juara Lagu ke-21 menerusi lagu Terlalu Istimewa.

ARTIKEL BERKAITAN: Dikhabarkan Menderita Kanser, Adibah Noor Meninggal Dunia

ARTIKEL BERKAITAN:“Maaf, Kali Ini Aku Tak Dapat Tolong…” – Beberapa Tweet Terakhir Seakan Memberi Petanda, Netizen Tangisi Pemergian Adibah Noor

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin