Konsert Ada Apa Dengan Melly Sukses, Melly Goeslaw Sebak Kenang P Ramlee

Konsert Ada Apa Dengan Melly yang berlangsung di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada minggu lalu ternyata mencipta sejarah tersendiri buat penyanyi popular, Melly Goeslaw dalam kembara perjalanan seninya selama 30 tahun ini.

Mendendangkan hampir 30 lagu pada penampilan sulungnya di Malaysia, konsert dengan tema alam persekolahan itu menambah kehangatan penonton untuk mengimbau saat remaja di bangku sekolah dahulu.

Apa yang lebih menarik bagi Konsert Ada Apa Dengan Melly adalah penonton yang hadir pada malam tersebut menyarungkan busana sekolah demi mengembalikan nostalgia zaman remaja.

Tampil dengan busana eksentrik, Melly yang diberikan jolokan ‘Ratu Runut Bunyi’ itu memukau peminat yang hadir dengan karya-karya popularnya seperti Ingin Mencintai Dan Dicintai, Tentang Dia, Pecinta Wanita, Ayat-Ayat Cinta, Kubahagia, Denting dan banyak lagi.

Konsert Ada Apa Dengan Melly itu juga dijayakan oleh suaminya, Anto Head sebagai pengarah muzik dan bantuan okestra menjadi kenangan terindah buat penyanyi berusia 49 tahun ini.

Lebih istimewa, Melly yang mengagumi Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee turut memberi penghormatan kepada lagenda sepanjang zaman itu dengan menyanyikan lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti dan Bunyi Gitar.

Segmen tribute tersebut membuat penonton sebak mengenangkan perjuangan seniman P Ramlee dalam berkarya. Dalam pada itu Melly memaklumkan dia akan terus berusaha untuk mengangkat martabat komposer dan penulis lirik.

“Malaysia sangat beruntung kerana mempunyai pemuzik genius seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Saya sering terinspirasi dengan karyanya, malah saya percaya pemuzik di sini juga genius dalam berkarya.

“Justeru, saya ingin memberi penghargaan kepada pemuzik di sini dengan menyatukan denyut muzik kedua-dua negara menerusi konsert ini,” ujarnya.

Konsert yang berdurasi lebih 3 jam itu juga dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Antara selebriti yang turut memberi sokongan pada malam tersebut adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Amy Search, Datuk Rossa, Misha Omar, Raffi Ahmad dan ramai lagi.

 

Khairil Khusyairi