Kos Cecah Hampir Setengah Juta, Konsert REUNIC The Finale Angkat Kegemilangan Industri Nasyid Tanah Air

Dengan kehadiran penonton seramai 1,200 orang, kumpulan UNIC berjaya mengangkat kembali kegemilangan industri nasyid tanah air pada Live In Concert REUNIC The Finale, yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, semalam.

Malah, konsert tersebut juga berjaya mengumpulkan semula sembilan ahli kumpulan mereka yang pernah terlibat sejak tahun 2002 sehingga kini.

Kumpulan yang terdiri daripada Dr Fitri Haris, Bazli, Fakhul Radhi, Fadzli Aziz, Hafiz Hamidun, Wan Shah, Afendi, Azlan Al-Bukhary dan Wan Najdi itu juga turut meluahkan rasa berpuas hati dan syukur dengan sambutan yang diberikan oleh penonton.

“Secara keseluruhan, kita sangat-sangat berpuas hati dengan sambutan dari penonton dan disokong oleh pihak penaja, Kumpulan Megaklinik Zahran kerana bukan senang untuk membuat konsert berskala besar. Kita laburkan hampir setengah juta, iaitu lebih kurang RM460,000 kita keluarkan untuk konsert malam ini.

“Jadi, Alhamdulillah terima kasih pihak penaja dan Kementerian Komunikasi untuk menjayakan konsert ini. Kami sangat berpuas hati,” kata Fitri mewakili anggota UNIC.

Konsert nasyid yang berdurasi selama dua jam itu juga, sekali gus berjaya mengubah perspektif industri nasyid tanah air dengan gubahan elemen muzik yang lebih berbeza, moden dan mengikut arus peraliran semasa.

Antara genre muzik yang diketengahkan seperti irama tradisional, dangdut, pop dan balada.

Konsert tersebut juga dapat menyaksikan UNIC mempersembahkan 20 buah lagu mereka antaranya, Sebuah Pertemuan, Kawan, Remaja, Hanya Tuhan Yang Tahu, Ainul Mardhiah, See You Di IPT, Demi Cinta Suci dan banyak lagi.

Pada konsert itu juga, turut hadir adalah barisan artis popular seperti, Mawi, Zizi Kirana, Anas Tahir, Bell Ngasri dan Bienda.

Fatin Nurain