Siti Nurhaliza Tegur Blogger Tulis Fakta Salah – “Tajuk Berita Ini Jauh Berbeza Dengan Jawapan Saya”

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa kecewa apabila sebuah blogger melaporkan fakta dengan tajuk yang salah mengenai anaknya, Siti Aafiyah.

Menerusi hantaran di laman Instagram, Siti Nurhaliza berkata dia tidak mengeluarkan kenyataan mengatakan dirinya lebih gembira jika Aafiyah menjadi ahli politik seperti yang dilaporkan blogger tersebut.

“Etika menulis dan impak kepada orang lain.

“Tajuk berita ini jauh berbeza dengan jawapan saya. Saya tidak pernah menyebut saya lebih gembira jika Aafiyah menjadi ahli politik seperti yang ditulis.

“Netizen akan menulis di ruangan komen berdasarkan tajuk tersebut, dan macam-macam akan diperkatakan,” tulis Siti.

Terdahulu, Siti Nurhaliza memuat naik satu tangkap layar yang memaparkan artikel yang menulis tajuk “Siti Nurhaliza Lebih Gembira Aafiyah Jadi Ahli Politik” di Instagram peribadinya.

Pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu itu juga turut berharap agar pihak blogger tersebut bertanggungjawab di atas artikel dan tajuk yang ditulis.

“Apa yang saya tekankan adalah mengenai etika menulis, jangan mengubah fakta dan saya pula yang terkena impak negatifnya.

“Saya sangat berharap agar pihak blogger bertanggungjawab di atas artikel dan tajuk yang ditulis.

“Saya tidak pernah ada masalah dengan pihak media tetapi saya hanya mahu agar apa yang ditulis perlu dengan fakta yang betul, apatah lagi ada video yang boleh dirujuk,” tegasnya.

Khairil Khusyairi