Kumpulan K-POP X1 Bubar Selepas 5 Bulan Debut?

Baru sahaja 5 bulan mengecapi populariti, kumpulan K-pop yang dilahirkan menerusi rancangan Mnet “Produce X 101” Musim Keempat iaitu X1 secara rasminya telah dibubarkan.

Kenyataan itu telah disahkan oleh jurucakap CJ&EM setelah mencapai kata sepakat untuk tidak lagi meneruskan aktiviti kumpulan tersebut.

“Hello, Agensi Play M Entertainment, Yuehua Entertainment, T.O.P. Media, OUI Entertainment, MBK Entertainment, Woollim Entertainment, DSP Media, Starship Entertainment dan Brandnew Music telah berunding dan berbincang sesama sendiri dan bersepakat untuk tidak meneruskan aktiviti X1 lagi. Maka dengan ini, X1 dibubarkan serta-merta,” kata jurucakap CJ&EM.

Rancangan Mnet, ‘Produce X 101″ merupakan sebuah program realiti yang telah melahirkan kumpulan popular seperti IOI, Wanna One, Iz*One dan terbaru X1.

Terbaharu, program itu berdepan dengan skandal terbesar apabila dua penerbit program itu iaitu Ahn Joon Young dan Kim Young Bum telah didakwa di bawah kesalahan penipuan, rasuah dan juga menghalang perniagaan. Salah seorang penerbit iaitu Ahn Joon Young kemudiannya mengakui memanipulasi undian bagi kumpulan X1.

Walau bagaimanapun, hasil sokongan berterusan daripada peminat, X1 tetap mendapat tempat dalam industri Korea apabila album ‘debut’ mereka, Quantum Leap laris dan kekal di tangga pertama dalam carta album Gaon selama tiga minggu di samping tetap mendapat tempat pertama di dalam persembahan mingguan.

Semoga yang terbaik sahaja buat semua anggota X1 selepas ini. 

Sumber foto: www.soompi.com.my

Syafiqa Irdina