Kunjungan Kali Ketiga, Aaron Aziz Teruja Bawa Keluarga Mengerjakan Umrah

Pelakon Datuk Aaron Aziz selamat berlepas ke tanah suci Makkah kelmarin bagi menunaikan ibadah umrah.
Pelakon berusia 43 tahun ini meluahkan rasa syukur apabila kunjungannya ke Makkah kali ini lebih bermakna apabila isteri dan anak-anaknya bersama.

Berita baik itu dikongsikan oleh  pelakon filem yang popular menerusi filem “KL Gangster” dan “Ombak Rindu” menerusi laman media sosial Instagram miliknya yang memaparkan mereka sekeluarga berada di dalam pesawat.

“Saya dan keluarga ingin mohon maaf sekiranya ada terkasar bahasa atau terguris hati sesiapa. Dengan izin Allah kami dapat mengerjakan ibadah Umrah sekali lagi.” kata Aaron.

 

Kali pertama Aaron membawa keluarganya mengerjakan umrah adalah pada tahun 2016 dan mengakui lebih teruja untuk berkunjung ke Tanah suci buat kali yang ketiga ini.

 “Inilah kali ketiga saya ke Makkah bagi menunaikan umrah. Istimewanya, ibadat kali ini turut disertai oleh ketiga-tiga anak kami. Saya ingin membawa mereka menunaikan umrah sebagai persiapan sebelum menunaikan ibadat haji, suatu hari nanti. Doakan semoga semuanya berjalan lancar,” kata Aaron Aziz.

Hasil perkahwinan Aaron Aziz bersama isteri, Diyana Halik, mereka telah dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Danish Anaqi, 15, Dwi Ariana, 13 dan Dahlia Arissa, 9.

Syafiqa Irdina