Label Selebriti Thailand ‘Parasit’, PU Syed Bantah Anjur Shooting Star Tour Asia Di Malaysia – “Tak Tahu Nak Beza Penghibur Atau Penyetan Masyarakat”

Sekali lagi pendakwah bebas PU Syed tampil mengemukakan bantahan terhadap sebuah acara ‘meet & greet’ Shooting Star Asia Tour yang dihadiri oleh selebriti Thailand iaitu Bright, Win, Dew dan Nani yang bakal diadakan pada awal November ini.

Menerusi hantaran PU Syed di Instagram, dia meminta kepada pihak yang berkuasa untuk menyekat kemasukan selebriti Thailand ini ke Malaysia.

“Saya menyeru kepada pihak kerajaan dan pihak berkuasa agar menyekat makhluk-makhluk ini dari masuk ke Malaysia!,” tulisnya.

Bukan itu sahaja, PU Syed dilihat lantang bersuara dengan menyatakan hiburan yang semakin melampau malah tidak tahu untuk membezakan antara penghibur atau perosak masyarakat.

“Semakin parah hiburan melampau dan tak tahu nak beza penghibur atau penyetan kepada masyarakat,” tegasnya.

Malah, PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak Benyahya, 40 turut melabelkan selebriti-selebriti itu sebagai parasit pada poster yang dimuat naiknya.

“Sekat parasit-parasit! El Gi Bi Tih (LGBT) ni dari masuk ke Malaysia!,” tulisnya lagi.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet menyokong tindakan PU Syed dan menyifatkan selebriti Thailand ini akan merosakkan akhlak rakyat Malaysia kerana mereka homoseksual.

Terdahulu, PU Syed turut bersuara dengan meminta pihak berkuasa untuk menghentikan konsert kumpulan K-Pop, Blackpink dan juga Konsert Billie Eilish.

Atiqah Johari