“Lebih Baik Jemput Staff Tu” – Netizen Berang Kak Long 7E Dijemput Ke Program TV Islamik

Heboh di ruangan media sosial Twitter dan Facebook mengenai sebuah stesen televisyen yang menjemput ‘Kak Long 7E’ atau nama sebenarnya Wan Nor Baizura Bharudin sebagai tetamu untuk program berbentuk Islamik.

Hantaran yang dimuat naik oleh pengacara program tersebut telah menimbulkan amarah wargamaya sehingga stesen televisyen tersebut menerima kecaman yang teruk daripada orang ramai.

Menerjah ke Twitter, ramai dalam kalangan wargamaya yang turut meluahkan rasa kecewa dan kesal atas tindakan stesen televisyen tersebut yang menurut mereka sangat tidak professional dan seakan ‘menagih’ publisiti.

Sementara itu, rata-rata daripada netizen di Twitter mempertikaikan dan mempersoalkan stesen televisyen itu kerana menjemput individu yang pernah tular dengan isu negatif baru-baru ini. .

Ramai dalam kalangan mereka yang bersetuju bahawa individu yang lebih layak untuk dijemput ke program televisyen ini ialah pekerja kedai serbaneka 7Eleven (7E) yang teruk dikritik dan dimarahi oleh Kak Long.

Bagaimanapun, menurut kenyataan media daripada stesen televisyen tersebut difahamkan program bernama ‘Trending’ itu adalah untuk membahaskan isu-isu yang tular di media sosial.

Selain daripada itu, kemunculan Kak Long 7E dalam program tersebut bertujuan untuk memberi tausiyah, teguran serta pengajaran agar dia lebih peka dan bertanggungjawab sebelum berkongsi sesuatu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia Dah Minta Maaf, Kesian Anak” – Aaron Aziz Mohon Hentikan Muat Naik Video Kak Long 7E

Terdahulu, tular sebuah video yang memaparkan seorang wanita yang mengamuk kepada seorang pekerja kedai serbaneka 7ELeven (7E) kerana berang anak lelakinya dituduh mencuri.

Namun, isu tersebut telah selesai kerana wanita berkenaan telah tampil memohon maaf kepada pekerja 7E atas tindakannya yang melulu.

Aqilah Paharuzi