Kadar Imuniti Semakin Berkurangan, Suntikan Dos Keempat Covid-19 Diperlukan

Pengambilan suntikan dos keempat diperlukan bagi melindungi diri daripada wabak Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Dr Albert Bourla ketika sesi temu bualnya dalam rancangan ‘Face The Nation’ menerusi siaran CBS.

Selain itu, menerusi siaran New York Post pula, beliau berkata suntikan dos keempat itu perlu memandangkan perlindungan sedia ada semakin berkurangan.

Malah, dua suntikan awal beserta dos penggalak tidak dapat melindungi masyarakat daripada semua varian Covid-19 kerana kekuatannya akan berkurang ataupun pudar.

Bukan itu sahaja, beliau mengakui bahawa pengambilan suntikan dos keempat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

“Pada masa ini, perlindungan yang anda peroleh daripada suntikan dos ketiga sudah cukup baik untuk mengelakkan kemasukan ke hospital dan sakit teruk, namun ia tidak begitu baik untuk melawan jangkitan serta tidak dapat bertahan lama,” katanya.

Sementara itu, Pfizer dan syarikat farmaseutikal lain dilaporkan sedang menghasilkan dos vaksin yang akan melindungi manusia daripada sebarang varian pada masa hadapan.

“Kami sedang berusaha dengan gigih untuk menghasilkan bukan saja vaksin yang dapat melindungi manusia daripada semua varian termasuk Omicron, malah dapat memberi perlindungan sekurang-kurangnya setahun,” katanya.

 

Sumber : BH, New York Post

Salma Syahbuddin