‘Sumpahan Salju’ Inspirasi Kisah Snow White, Uniknya Melodi Lagu Baru Ara Johari… Siap Pegang 3 Watak Lagi!

Penyanyi Ara Johari berjaya membuat ramai terpukau menerusi single terbaru berjudul ‘Sumpahan Salju’ hasil nukilan Ziin dan lirik oleh Jerry.

Menurut naib juara Anugerah Juara Lagu ke 33 itu, dia jatuh hati apabila mendengar ‘material’ lagu tersebut yang turut mempunyai elemen alunan muzik tradisional Jawa yang dimodenkan.

“Ceritanya begini, ketika itu saya berada di studio muzik bagi mendengar ‘material’ baru daripada abang Zimi Sofazr (Ziin) dan terus terpikat dengan melodi Sumpahan Salju yang memaparkan muzik tradisional Jawa yang dimodenkan.

“Kami memulakan sesi rakaman dalam kadar yang agak pantas, ia mengambil tempoh kurang dari tiga jam sahaja. Manakala, selebihnya abang Zimi yang bertanggungjawab melakukan proses adunan bagi mempercantikkan lagi bunyi lagu tersebut,” katanya.

Menurut Ara yang juga pelantun lagu terkenal Warkah Untukku itu, lagu Sumpahan Salju terhasil itu juga terhasil berinspirasikan daripada kisah dongeng popular dunia iaitu Snow White.

“Sumpahan Salju adalah sebuah adaptasi dari cerita dongeng kanak-kanak yang popular iaitu ‘Snow White’ dan kalau pendengar amati bait-bait liriknya, pasti mengerti dengan jalan cerita lagu ini.

“Saya sebenarnya gemar dengan melodi-melodi yang unik dan lagu ini nyata berbeza daripada genre yang pernah saya bawakan sebelum ini.

“Cuma pada kali ini, saya mahu mencuba sesuatu yang baharu serta berbeza dan tidak pernah terjangka oleh sesiapa,” katanya.

Melihat kepada muzik video lagu Sumpahan Salju di YouTube, rata-rata pendengar sangat teruja melihat Ara membawakan tiga watak.

Selain itu, netizen juga kagum dengan alunan muzik lagu yang mempunyai elemen rancak serta melodi yang unik.

Selain daripada memuji vokal Ara yang sangat mantap, peminat lagu terbaru Ara mengakui telah terkena ‘sumpahan’ serta memuji penampilan fesyen Ara sangat memukau dan sesuai dengan susunan lagu tersebut.

Aqilah Paharuzi