“Lebihkan Nyanyi, Kurangkan Bercakap” – Ziana Zain Terima Teguran Netizen

Penyanyi terkenal Ziana Zain terima teguran peminat agar dia dan adiknya yang juga penyanyi Anuar Zain untuk memberi tumpuan lebih kepada nyanyian pada konsert seterusnya di Singapura.

Memetik laporan Harian Metro, Ziana berkata perkara yang berlaku sewaktu konsert di Dewan Plenary, KLCC pada 6 Ogos lalu dijadikan pengajaran untuk mereka menambah baik di Konsert Anuar Zain, Ziana Zain Live in Singapore 2022 pada 24 September depan.

“Lebihkan menyanyi dan kurangkan bercakap, boleh, boleh. Sebab sebenarnya kita ni bukan apa, bila dah lama tak ada konsert, kita tengok penonton, rasa teruja dan sangat mengalu-alukan mereka. Nak pergi kepada peminat untuk ucap terima kasih. Tapi mungkin sebab dalam kepala otak dah tertumpu untuk lagu.

“Jadi, kita belajar. Ada suka dan tak, selera masing-masing. Ada yang datang dengan positif ‘vibes’, yang datang nak cari salah kita pun ada. Jadi, ia perkara biasa apabila berada dalam industri ini. Saya berfikiran terbuka. Negatif atau positif, semua teguran saya terima.

“Saya tak nak menjadi orang yang tak boleh terima, itu tak belajar sebenarnya,” katanya.

Pada masa sama, pelantun lagu Madah Berhelah ini berterima kasih kepada peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan buat dirinya untuk mengadakan konsert solo.

“Ya Allah, makbulkanlah doa setiap mereka yang mendoakan saya. Kalau ada, Ya Allah siapa yang tak nak. Saya sedia untuk konsert solo. Sekurang-kurangnya saya ada setahun untuk saya buat persiapan. Saya nak kena latihan dan dapatkan stamina.

“Memang saya nak, orang kata sebelum kita melangkah lagi, apatah lagi kalau dah berumur ni, kita tak tahu tenaga kita tahap mana. Tapi saya cakap, kalau dapatlah, ia semua rezeki,” ujarnya.

Sumber: Harian Metro

Maya Basir