Categories: HiburanTrending

“Lelaki Cepat Bosan, Suka Bandingkan Isteri.. Penyondol Kuat Bersaing” – Amylea Ulas Isu Rumah Tangga & Kes Curang

Perempuan bergelar penyondol memiliki sikap suka bersaing untuk memikat suami orang.

Itu merupakan pendapat penyanyi Amylea Azizan mengenai isu penyondol dan kes curang yang hangat menjadi topik bualan ramai.

Bagi Amylea, penyondol akan gigih berusaha untuk menjadi perempuan yang lebih baik berbanding isteri seseorang itu.

Berang dengan isu curang yang makin menjadi-jadi, Amylea mengutuk tindakan segelintir wanita yang memusnahkan kebahagiaan rumah tangga orang semata-mata demi kepuasan diri.

Isu itu diulas dan dikongsikan di laman Youtube W.A.T Podcast milik Amylea baru-baru ini.

Menurut Amylea, lelaki yang sudah mendirikan rumah tangga mempunyai banyak pengalaman dan lebih matang, justeru mereka menjadi sasaran penyondol.

“Perempuan memang suka ambil suami orang sebab lelaki itu dah terbukti mampu menggalas tanggungjawab sebagai suami. Dia boleh menjaga anak dan bekerja,” katanya.

Malah, ratu runut bunyi drama itu memaklumkan penyondol pantang menyerah dan tidak akan berputus asa untuk mendapatkan perhatian lelaki.

Dia akan berhubung dan cuba rapat dengan lelaki berkenaan sehingga menjadikannya seseorang yang istimewa.

“Perempuan yang ingin mengorat suami orang sudah tahu apa masalah lelaki itu.

“Pertama sekali, dia akan berkawan dulu, kemudian tegur di Instagram Story, mesej, lama-lama dia akan masuk dalam kehidupan lelaki itu,” ujarnya.

Tambah pelantun lagu Kendati itu, apabila penyondol dan suami orang tersebut sudah menjalinkan hubungan, lelaki akan mula membanding-bandingkan isterinya dengan wanita berkenaan.

Dalam pada itu, Amylea turut meluahkan rasa geram dengan tindakan lelaki yang cepat bosan lalu bertukar pasangan.

Oleh itu, dia memberi amaran kepada semua lelaki agar lebih rasional dalam menyelesaikan masalah dengan pasangan bukannya mencari pasangan baharu untuk lari dari masalah rumah tangga.

Syamir Shafie