“Maaf, Kami Mahu Selesaikan Tanpa Libatkan Media…” – Raihan

Kebelakangan ini, persengketaan antara kumpulan nasyid Raihan dan bekas ahli kumpulannya, Nazrey Johani masih lagi hangat diperkatakan dan menjadi tumpuan netizen.

Terbaharu, Nazrey telah memaklumkan bahawa dia akan bersemuka dengan ahli kumpulan nasyid itu sendiri bagi meleraikan segala salah faham yang berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: “Isu Antara Saya & Raihan Tak Pernah Selesai…” – Ambil Inisiatif Ajak Bersemuka, Nazrey Johani Mahu Lerai Persengketaan

Memetik laporan Utusan Malaysia, Che Amran Idris atau lebih mesra disapa sebagai Che Am menyatakan mereka tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.

Malah, mereka juga memilih untuk menyelesaikan salah faham yang berlaku tanpa penglibatan pihak media.

“Saya mohon maaf kerana masih belum boleh memberikan apa-apa komen berkenaan perkara itu.

“Tentang hal ini, kami mahu selesaikan tanpa melibatkan media,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Che Am turut memaklumkan bahawa Konsert Garis Masa Raihan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam pada 26 November ini terpaksa ditunda.

Menurut Che Am, konsert tersebut telah ditunda atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan dan memutuskan untuk membuatnya pada 18 Februari tahun hadapan.

“Perbincangan telah dibuat dengan pihak penganjur. Atas beberapa faktor seperti Pilihan Raya Umum Ke-15 dan keadaan cuaca tidak menentu, kami sebulat suara memutuskan untuk menunda konsert ini ke 18 Februari 2023, sempena sambutan Israk Mikraj.

“Buat masa ini, sistem pembelian tiket menerusi www.ticket2U.com.my dihentikan sementara dan akan dibuka semula bermula 7 November ini.

“Bagi yang ingin menukar perancangan, tuntutan pemulangan wang boleh dibuat dengan menghantar permohonan menerusi cs.raihangarismasa@gmail.com,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Fatin Nurain