“Macam Amitabh Bachchan Bossku…” – Tukar Angin Jadi Pelakon, Najib Razak Kongsi Pengalaman Di Set Penggambaran Siap Pakai Rambut Palsu!

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkongsi pengalaman pertama kali membabitkan dirinya dalam bidang lakonan sebagai ‘cameo’ menerusi drama berjudul ‘Tunjang’, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di Facebook, beliau yang turut memuat naik gambar bersama pelakon lain dan meluahkan rasa terujanya di set penggambaran.

“Saya tukar bidang, pengarah cakap tak perlu audition. Macam best penggambaran saya masuk watak dalam drama Tunjang tadi(semalam).

“Boleh tahan juga OOTD (outfit of the day) saya pakai topi ini. Ada macam James Bond zaman dulu-dulu,” tulisnya.

Menurut Najib, dia dilamar untuk membawa watak sebagai Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, iaitu bapanya yang juga dikenali sebagai Bapa Pembangunan.

“Satu pengalaman baru dan pada saya, satu pengalaman manis juga kerana ini kali pertama (berlakon). Bukan saja saya dapat menampilkan watak yang berlainan daripada diri saya sendiri, tetapi mesej yang dapat saya sampaikan itu sangat bermakna.

“Sebab dalam drama Tunjang ini, ia berkait rapat dengan perjuangan Allahyarham Tun Razak. Gagasan, penubuhan dan idea Felda itulah memang satu legasi Tun Razak yang kita semua banggakan,” katanya.

Selain itu, beliau juga perlu menggayakan imej berpakaian seperti bapanya, selain mengenakan rambut palsu dan bertopi menerusi drama itu.

Lebih menarik lagi, ada juga wargamaya yang memuji penampilannya mengenakan rambut palsu itu seperti pelakon Bollywood, Amitabh Bachchan.

“Sekali pandang macam Amitabh Bachchan bossku,” komen seorang netizen.

“Sporting la DSN, nampak muda terus,” tulis seorang peminatnya.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain