Mahu Ulang Kejayaan ‘Satu Peluang’, Andi Bernadee Tampil Dengan ‘Donde’

Selepas single Satu Peluang mendapat sambutan luar biasa, penyanyi remaja Andi Bernadee mahu mengulangi kejayaan sama dengan “Donde”.

Taruhan terbaru yang merupakan single keempatnya ini merupakan kerjasama sekali lagi dengan rapper dan penerbit tersohor, Alif yang juga bertindak sebagai komposer, penulis lirik dan penerbit rakaman lagu ini. 

Lagu ini turut menyuntik elemen muzik latin dalam susunan muziknya. Penggunaan muzik latin ini seiring dengan penggunaan istilah ‘donde’ yang membawa maksud ‘di mana’ dalam Bahasa Sepanyol, sekaligus bertepatan dengan tema pencarian dalam lagu ini. 

Andi yang sebelum ini masih tercari-cari hala tuju muziknya kini tampak semakin selesa membawakan konsep muzik urban dalam “Donde”.

Dalam masa sama, Andi berharap agar “Donde” dapat menaikkan profilnya sebagai penyanyi muzik urban dan sekali lagi diterima baik oleh peminat muzik tempatan.

Untuk rekod lama, Andi Bernadee atau mesra disapa Andi memulakan kerjaya seninya pada tahun 2017 dengan balada ‘Tiada Lagi Maaf’. 

Percubaan Andi dalam membawakan irama muzik urban apabila Andi diberikan kepercayaan oleh penyanyi rap terkenal Indonesia, Roy Ricardo untuk merakam semula lagu hits rapper tersebut, ‘Semalem Sahur Dimana’ pada bulan Ramadhan tahun lalu. 

Dalam perkembangan lain, Andi turut tercalon dalam kategori ‘Artis Baharu MeleTOP’ dalam Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME2019) yang bakal berlangsung pada pada 21 April depan.

Single “Donde” terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 29 MAC 2019.

SGMS Faida