“Market Kita Bukanlah…” – Drama Melur Untuk Firdaus Bakal Tembusi Pasaran Indonesia? Ini Respons Penerbit

Baru tujuh episod ditayangkan, namun drama Melur Untuk Firdaus berjaya mendapat tempat dihati penonton sehingga mempunyai peminat dari negara seberang.

Oleh itu, penerbit drama Melur Untuk Firdaus, Datin Wan Kalsom tidak menolak kemungkinan drama terbitannya itu bakal ditayangkan di Indonesia.

Drama ini menjadi tular apabila klip-klip sedutan drama tersebut banyak dikongsi di platform TikTok oleh wargamaya.

“Saya rasa tak ada masalah untuk tayangkan di sana, kenapa pula tak boleh kan? Pihak kami (A-Ten Alliance Sdn Bhd) boleh cakap kepada TV3 dan mesti mereka mahu sebab itu ‘marketing’.

“Saya boleh cakap tentang perkara ini kepada mereka yang berkenaan. Saya rasa memang tak ada masalah sebab sebelum ini TV3 pun pernah ada kerjasama dengan Indonesia,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengulas lanjut, penerbit drama ini akan mengambil peluang sebaik mungkin untuk memasarkan drama ini ke pasaran luar negara ketika sedang menjadi bualan hangat dalam kalangan penonton.

“Mestilah, siapa tak nak kan? ‘Market’ kita di Malaysia bukanlah besar sangat, tapi kalau boleh bawa keluar alhamdulillah. Kami akan usahakan dan maklum pada TV3. Insya-Allah, saya yakin drama ini boleh pergi lagi jauh,” katanya.

Lagi, dia juga memaklumkan bahawa dia tidak menyangka drama ini mendapat sambutan yang luar biasa dan mengakui gandingan Anna Jobling dan Meerqeen merupakan kunci kejayaan utama drama ini.

“Saya pun terkejut sebenarnya, masa tayangan empat episod awal itu pun jumlah tontonan dah banyak dan ia makin bertambah selepas itu. Pada saya drama ini sangat bagus dari segi skrip, lakon layar dan juga gandingan pelakon itu sendiri (Meerqeen dan Anna Jobling),” katanya.

Untuk makluman, Melur Untuk Firdaus merupakan sebuah drama yang diadaptasi daripada sebuah novel yang berjudul My Rude Wife hasil karya Cik Nor Cinta. Drama ini mempunyai 28 episod yang akan ditayangkan di TV3 setiap hari Rabu hingga Sabtu, 9 malam di Slot Lestary.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari