Masih Berteka Teki, Dini Schatzmann Tidak Tolak Atau Mengesahkan Dakwaan Kahwin, Mengaku Ada Buat Perancangan

Pelakon, Dini Schatzmann enggan menolak serta mengiyakan dakwaan bahawa akan mendirikan rumah tangga bersama kekasih hatinya pelakon cantik, Janna Nick.

Sebelum ini, tular desas desus yang mengatakan bahawa dia akan menamatkan zaman bujangnya dengan Janna pada 10 Jun ini.

“Apa yang saya boleh cakap adalah jika perkara itu benar, maka ia akan terjadi. Jika tidak maka tidak akan terjadi,” jelas Dini

Menurutnya lagi, dia tidak terkejut mendengar tentang spekulasi ini kerana dia sudah lali menerima pelbagai desas desus yang mengatakan dia dan Janna akan berkahwin.

“Sejujurnya saya tak terkejut pun sebab dah 4 tahun dah banyak cerita lebih kurang macam ini yang saya dan Janna nak kahwin dan saya tak salahkan sesiapa.

“Jika perkara ini (perkahwinan) itu terjadi betul-betul, saya dan Janna sendiri akan memberitahu orang ramai,” kata Dini lagi.

Berkenaan dengan isu perkahwinan yang kerap menimpa pasangan ini, Dini sendiri mengakui ada membuat perancangan untuk mendirikan rumah tangga kerana sudah menjalinkan hubungan cinta yang lama dan sudah pastinya dia mahukan pengakhiran yang baik dalam hubungannya.

“Takkan kita nak ada dalam relationship tetapi tiada hala tuju, main-main je. Mestilah kami nak ke arah yang betul, takkan bercinta lama tapi tak ke mana,” jelas Dini ketika ditemui di Majlis Pelancaran Filem Malbatt: Misi Bakara.

Spekulasi tentang dia akan bernikah dengan Janna ini tercetus apabila Janna didakwa menghantar borang pernikahan di Pejabat Agama Daerah Langkawi.

Mereka juga dikatakan akan mengadakan majlis mereka di salah sebuah resort mewah di Langkawi.

Izzi Farhana