Masih Dihantui Masa Lalu, Aisha Retno Susah Nak Move On Dalam I.L.S.M

Penyanyi Aisha Retno kini tampil dengan single terbaru berjudul I.L.S.M (I Love Sadness More) selepas mendapat lebih daripada 35 juta strim untuk lagu Inggeris pertamanya yang berjudul W.H.U.T (Wanna Hold U Tight).

Diilhamkan oleh gaya muzik rakan seangkatan seperti Madison Beer dan Ariana Grande, single terbaru Aisha ini juga turut menyajikan elemen-elemen lagu tema Disney sekitar 40-50an.

I.L.S.M menceritakan tentang krisis dalaman seseorang yang cuba menangani memori masa lalu yang acapkali menghantui diri tatkala cuba untuk terus maju ke hadapan.

“Saya benar-benar ingin mencurahkan segalanya menerusi I.L.S.M untuk berkongsi di luar sana yang menyayangi itu tidak semestinya memiliki,” katanya.

Menurut Aisha, lirik lagu untuk single terbarunya ini diinspirasikan oleh lagu yang mendapat sambutan hangat di seluruh dunia iaitu Glimpse of Us nyanyian Joji.

Tambahnya lagi, ketika itu dia sedang melalui fasa tersebut dalam kehidupan percintaannya.

“Ya, dari segi lirik tu masa lagu tu (Glimpse of Us) keluar, saya rasa it’s a very magnificent song yang saya rasa belum ada sesiapa lagi yang berfikiran untuk membuat lirik sebegitu.

“Semasa lagu tu release pula saya tengah menjalani that kind of phase, so I think its one of the inspiration juga untuk meneruskan legasi Glimpse of Us. So here you go, I.L.S.M point of view daripada seorang wanita,” ujarnya.

Selain itu, melalui lagu I.L.S.M ini juga Aisha mahu membawa konsep dimana pendengar dapat merasakan dan ‘relate’ dengan apa yang dilaluinya.

“Merasakan apa yang saya rasa. Mengambil masa untuk meneruskan serta menyembuhkan diri dari masa lalu mengikut kadar dan upaya diri sendiri.

“Semasa semua orang asyik dibuai hidupan, dalam mengharungi warna warni, menangis. Belajar memaafkan. Biarkan. Biarkan air mata ini menjadi benih untuk hari hari bahagia yang mendatang,” jelasnya.

Maya Basir