Meriah! Penonton Puas Imbau Momen Nostalgia Nyanyi Lagu ‘Evergreen’ Di Konsert ‘Raya Sepanjang Zaman’

Konsert ‘Raya Sepanjang Zaman’ selesai menghiburkan 800 penonton bertempat di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) berlangsung pada malam Sabtu lalu.

Istimewanya konsert dibawah anjuran Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) kali ini menampilkan barisan penyanyi veteran berkaliber iaitu Datuk Hail Amir dan Sanisah Huri dibawa khas dari Singapura.

Konsert ini lebih dimeriahkan lagi dengan persembahan penyanyi terkemuka Ziana Zain dan Bob Yusof.

Sepanjang konsert berlangsung, para penonton berhibur mendengar lagu-lagu raya klasik malar segar yang digubah dalam susunan simfoni orkestra dianggotai oleh 60 pemuzik hebat tanah air.

Kira-kira 25 buah lagu raya sepanjang zaman didendangkan ke peringkat yang lebih tinggi melalui interpretasi simfoni hasil gubahan Jenny Chin, Gerard Salonga, Luqman Aziz, Ilham Subri dan diketuai oleh muzik direktor, Ahmad Muriz sendiri.

Biduanita Nusantara terhebat, Sanisah Huri mendendangkan lagu raya popular beliau bertajuk Bersabarlah Sayang dan Aidilfitri.

Cukup sinonim dengan lagu Seloka Hari Raya, Biduan, Datuk Hail Amir mempunyai nama cukup kukuh dalam arena seni tanah air turut mempersembahkan lagu Menjelang Hari Raya.

Konsert berdurasi dua jam ini diwarnai lagi dengan lontaran vokal Ziana Zain yang membawa lagi raya popular beliau Indah Di Hari Raya serta Hari Mulia buat pertama kali berkolaborasi dengan MPO.

Alunan suara gemersik dan lemak merdu Bob Yusof mempersonakan penonton dengan melalui lagu-lagu raya melankolik seperti Dari Jauh Ku Mohon Maaf dan Cahaya Di Aidilfitri.

Gabungan duet antara Ziana dan Bob yang membawa lagu medley Allahyarham Datuk Sharifah Aini menerusi lagu Selamat Hari Raya dan Hari Mulia mengamit memori raya penonton.

Konsert Raya Sepanjang Zaman turut mempersembahkan medley raya klasik malar segar yang pernah dipopularkan Seniman Legenda, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Datuk DJ Dave, dan Datuk M Nasir.

Aqilah Paharuzi