‘Merindu’ Buah Tangan Madam Untuk Peminat

Kumpulan Rock Madam kembali dengan single terbaharu mereka yang berjudul, Merindu.

Lagu yang dicipta sepenuhnya oleh kumpulan yang dianggotai oleh Putera (vokalis), Azuan (pemain bass), Herman (pemain dram) dan Fadhil (gitaris) turut diterbitkan oleh label hiburan paling sensasi, Rocketfuel Entertainment.

“Idea disebalik pembikinan lagu ini mula direncanakan sekitar bulan Mac tahun lepas lagi, namun disebabkan atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan, hasrat tersebut terhenti, dan disambung semula pada penghujung 2023,” kata Putera.

Single ini berkisarkan tentang merindui kehadiran orang tersayang, merindukan sentuhan, suara, merindui seseorang yang jauh di mata namun dekat di hati, gambaran rindu yang amat berat lagi mendalam.

“Kami mengambil masa selama 3 minggu untuk menghasilkan single Merindu ini, ia termasuk proses penulisan, adu campur muzik sehingga menjadi sebuah karya yang sempurna.

“Lagu Merindu masih mengekalkan irama rock namun ada elemen pop yang lebih moden, supaya lebih mudah mudah diterima oleh pendengar setelah lebih dari setahun kami tidak hadir dengan single baharu,” jelasnya.

Dalam pada itu, selaku Naib Presiden Rocketfuel Entertainment, Prem Anand berkata, lagu Merindu ini menampilkan sisi kumpulan Madam yang berbeza dan berharap mendapat tempat di hati peminat.

“Kami gembira dengan single terbaharu dari Madam dan berharap agar lagu ini mendapat tempat di hati peminat.

“Buat pendengar yang menantikan karya terbaharu daripada Madam, lagu ini adalah untuk anda. Lagu baru ini benar benar menampilkan sisi Madam yang berbeza,” katanya.

Selain itu, Madam juga turut melancarkan video muzik untuk single terbaharu mereka itu dengan jalan cerita yang tidak terlalu berat, cukup sekadar menunjukkan perasaan seseorang apabila merindu kekasihnya, pasti terkenang memori indah bersama.

“Kami berharap agar pendengar dapat mengenali band Madam dengan lebih lagi kerana lagu ini merupakan ciptaan kami yang kedua setelah single Nona lebih setahun lalu.

“Terima kasih buat semua peminat yang terus menyokong dan menanti karya terbaharu kami, semoga Madam kekal di dalam industri muzik sehingga hujung nafas kami,” kata Fadhil.

Lagu Merindu boleh dimuat turun di iTunes dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Fatin Nurain