Mia Ahmad & Izham Tarmizi Selamat Timang Bayi Ketiga

Pelakon dan usahawan, Mia Ahmad selamat melahirkan anak ketiganya, pagi tadi.

Menerusi perkongsian dibuat suaminya yang juga penjaga gol Sri Pahang FC, Mohd Izham Tarmizi, memaklumkan isterinya selamat melahirkan bayi perempuan.

“Assalamualaikum. Alhamdulillah isteri saya selamat melahirkan bayi perempuan, anak ketiga kami, 1.25 pagi tadi,” kongsi Izham.

Izham memuat naik foto yang memaparkan dia sedang memangku cahaya mata mereka itu.

Dalam pada itu, Izham turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan keluarganya.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakannya. Semoga dipermudahkan urusan kalian semuanya,” tulisnya.

Sehingga artikel ini ditulis, perkongsian tersebut telah menerima lebih 8,000 tanda suka dan ratusan ucapan tahniah di ruangan komen.

Mia Ahmad dan Mohd Izham Tarmizi mendirikan rumah tangga pada 13 Januari 2017 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu, Sayf Issa dan Iris.

Khairil Khusyairi