Miliki 1.3 Juta Followers, Nadin Amizah Tidak Rasa Zaman Muda Sia-Sia – “Lebih Banyak Berkat Dan Rezekinya…”

Penyanyi dari Indonesia, Nadin Amizah memberitahu dia tidak merasakan zaman remajanya diragut kerana sudah mengecapi populariti pada usia muda.

Malah, gadis berusia 23 tahun ini mengatakan lebih banyak kelebihan berbanding kekurangan kerana dia menganggap ini semua adalah rezeki dan keistimewaan buat dirinya.

“Dengan semua peluang-peluang yang diberikan, rezeki ini saya boleh membuat persembahan di Malaysia, saya boleh menyanyi di keliling Indonesia, dapat bertemu ramai orang dan berkongsi cerita.

“Jadi jika nak dibandingkan dengan kekurangan, lebih banyak berkat dan rezekinya,” ujarnya.

Nadin ditemui semasa majlis sidang media Konsert Selamat Ulang Tahun dan Kisah Lainnya di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Mengulas tentang siapa yang menjadi inspirasi untuk berkarya, dia sangat mengagumi pemuzik, Sal Priadi.

“Banyak yang saya jadikan inspirasi di dalam lagu-lagu tetapi yang paling terinspirasi dan dia turut ikut serta di konsert ialah Sal Priadi.

“Saya rasa dia adalah contoh dimana saya mahu menjadi seperti dia dalam versi perempuan dan banyak sekali hal yang saya rasa dia sangat bijak dan hebat,” katanya.

Nadin bakal membuat persembahan sulungnya di Malaysia menerusi Konsert Selamat Ulang Tahun dan Kisah Lainnya pada 21 Januari 2023 di Zepp KL.

Tiket yang terjual sudah melebihi dua ribu pembeli dan antara tiket yang masih tersedia adalah RM190 (Taruh), RM230 (Bertaut) dan Star (RM600) yang boleh dibeli di tapautix.tapau.asia.

Maya Basir