‘Minta Izin, Bayar Kalau Nak Menyanyi Lagu Arwah’- Isteri Allahyarham Saleem Beri Amaran

Isteri kepada penyanyi Allahyarham Saleem, Julia Bachok berharap agar tiada lagi pihak yang mengambil kesempatan dengan menyanyi lagu arwah suaminya tanpa memohon izin.

Julia ketika ditemui di sidang media Showcase Supernova Kesinabungan Seni Lagendary ‘S’ Remembering Allahyarham Saleem di G Tower semalam memberitahu mengingatkan mana-mana individu tidak lagi menjana duit dengan menggunakan nama arwah suaminya.

“ Mereka perlu berbincang dengan saya dulu. Bukan saya tidak izinkan untuk menyanyikan lagu arwah tetapi maklumkan kepada saya.

“ Saya tidak mahu orang lain membuat keuntungan dengan lagu-lagu arwah sedangkan arwah ada anak yang masih di bangku sekolah,” katanya kepada XTRA.

Julia turut memberi amaran, mana-mana pihak yang masih degil bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

“ Mana-mana pihak yang masih berdegil, ingat…saya sudah melantik seorang undang-undang yang akan mengendalikan isu ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Julia turut berharap agar para peminat Allahyarham Saleem dapat memberikan sokongan di persembahan jelajah sebagai memperingati lagu-lagu arwah.

“ Sepatutnya projek ini dijayakan oleh arwah. Segala perancangan telah dilakukan pada Ogos tahun lalu.

“ Rancangan ini terpaksa ditunda bagi menghormati pemergiaan arwah pada Oktober tahun lalu.

“ Saya mahu persembahan jelajah ini diteruskan dengan barisan penyanyi popular tanah air yang akan menyanyikan lagu-lagu arwah di beberapa lokasi terpilih,” katanya.

Showcase jelajah beberapa negeri ini dijangka akan diadakan selepas hari raya Aidilfitri nanti.

Menurut Julia, hasil kutipan tiket juga akan disalurkan ke rumah anak-anak yatim di Banting.

Lebih istimewa, persembahan siri jelajah ini turut menampilkan persembahan daripada anak arwah Saleem, Amirul.

SGMS Faida