“Mohon Doakan Kesihatan Suami Saya” – Ako Mustapha Dikesan Alami Jangkitan Kuman Pada Paru-Paru

Sebelum ini berita mengenai pelakon Ako Mustapha, 51 dikejarkan ke hospital gara-gara tiada insulin dalam badan sehingga perlu dimasukkan ke Unit Rawatan Intensif (ICU) di Hospital Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN:Insulin Kosong Dalam Badan, Ako Mustapha Dikejar Ke ICU

Terkini, isteri kepada pelakon itu, Kartina Shuaib Abdullah memaklumkan bahawa suaminya itu dikesan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru dan masih dirawat di wad pengasingan.

“Ako stabil dan masih dirawat di wad pengasingan. Cuma paras gula dalam darah sahaja yang tidak stabil… Sekejap turun, sekejap naik.

‘Pagi tadi saya dimaklumkan doktor mengesan jangkitan dalam paru-parunya.

“Disebabkan suami masih dirawat di wad pengasingan, saya tidak boleh datang melawat.

“Segala perkembangan terkini suami pihak hospital yang akan hubungi saya,” katanya kepada BH Online.

Memetik laporan BH Online, Kartina dan anak-anaknya berasa bimbang dengan tahap kesihatan Ako dan memohon semua pihak untuk mendoakan agar Ako segera sembuh seperti sedia kala.

“Risau apabila mendengar berita itu. Anak-anak pun risau bila dapat tahu ayah mereka masuk hospital.

“Harapnya tiada apa-apa yang buruk dan suami dibenarkan berpindah ke wad biasa. Dapatlah saya ziarah dan jaga dia.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertanya khabar dan tidak jemu-jemu mendoakan Ako,” katanya.

Khamis lalu, Ako dimasukkan ke hospital dan dirawat di zon merah kritikal gara-gara saraf dan otot tidak dapat berfungsi dengan baik kerana ketiadaan insulin dalam tubuhnya sehingga menyebabkan mukanya mula menjadi senget. Hal ini kerana dia menghidap masalah diabetes.

Sumber: BH Online

Atiqah Johari