Muatnaik Sebab Teruja, Neelofa Janji Tak Buat Lagi!

Selepas ditegur warganet kerana memuat naik rakaman sedutan filem Lion King di Instagram, Neelofa tampil memberi penjelasan.

Menerusi laman Instastorynya, Neelofa mengaku tiada niat melanggar undang-undang berkaitan hak cipta, apatah lagi sebagai artis dia sangat menghormati akan harta intelek.

Memberikan penjelasan yang turut dimuat naik di laman sosialnya, Neelofa akui tindakan itu dibuat kerana teruja dengan filem itu.

“Saya mengharapkan lebih ramai rakyat Malaysia menontonnya. Apatah lagi cerita terbabit sesuai menjadi tontonan seisi keluarga,” katanya yang cuba berkongsi sedikit sedutan filem terbabit tanpa menyedari tindakannya itu menimbulkan pelbagai kecaman.

Neelofa juga menjelaskan dia mengambil tanggungjawab penuh terhadap kesalahan yang dilakukan.

“Saya mengharapkan umum belajar daripada kesilapan dilakukan ini supaya mereka turut berhati-hati pada masa hadapan dengan tidak mengulangi apa saya lakukan,” katanya.

Isu dibangkitkan warganet itu menjadi besar apabila pihak pempamer iaitu Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV Cinemas, turut memuat naik kenyataan dan bertanyakan ia membabitkan tayangan di pawagam mana serta menganggap tindakan itu melanggar undang-undang dan dipandang serius.

Pihak pempamer juga turut membuat laporan mengenai isu ditimbulkan kepada penerbit filem Lion King iaitu Disney.

SGMS Faida