‘Muzik Kuat Tapi Tak Bingit’- Ramli Sarip

“Muzik mereka kuat tapi tak bingit,” komen penyanyi terkenal Datuk Ramli Sarip yang memuji penglibatan kumpulan pemuzik Lefthanded dalam industri muzik tanah air.

Dalam masa sama, beliau akui amat berbesar hati dapat membuat persembahan di dalam sebuah konsert berskala besar sempena meraikan ulang tahun ke 40 penglibatan Lefthanded sebagai anak seni.

“Ini sebuah penghormatan buat saya. Alhamdulillah atas rezeki dan kesempatan untuk terus menghiburkan peminat di Singapura dengan lagu-lagu menggamit memori dan saya pasti akan terus ingat persembahan ini sampai bila-bila,” katanya kepada Xtra.

Beliau juga tidak menolak bekerjasama dengan kumpulan Lefthanded untuk menghasilkan naskah baharu di masa akan datang.

“Tidak mustahil ada projek istimewa dari kami. Cuma kami tidak mahu tergesa. Bagi saya muzik sekarang harus sedap dan dewasa.

“Rancangan memang ada cuma kami belum duduk berbincang kerana kami perlu fikirkan tentang kos pembikinan. Mungkin single mungkin juga ada mini album, bergantung kepada rezeki dan masa,” ujarnya.

Konsert tersebut diadakan bersempena empat dekad Lefthanded sejak penubuhannya pada tahun 1979.

Konsert Lefthanded “Seruan” bersama Datuk Ramli Sarip ini bakal berlangsung selama kira-kira tiga jam  akan menyaksikan mereka menyanyikan lagu hits antaranya seperti  Seruan, Keadilan, Lanun, Debunga Wangi, Ku Di Halaman Rindu dan Tiada Kidungmu.
Menariknya, konsert itu nanti juga akan menampilkan anak bekas pemain dram Lefthanded, Man Dayak iaitu Hafiz serta vokalisnya, Nashrudin Elias atau lebih popular dikenali sebagai Datuk Nash.

Tiket bagi menyaksikan konsert yang akan berlangsung di Capital Theatre, Singapura pada 7 Mac depan, bermula serendah $98.

Bagi maklumat lanjut mengenai konsert,  boleh layari www.ogoffgrid.com

Oleh: Fas

SGMS Faida