Muzik Video Shiha Penuh Kontroversi?

Tidak menyangka penyanyi bersuara lunak, Shiha Zikir kini tampil dengan muzik video terbaru beliau berjudul Pipiyama yang dikatakan mengeksploitasi tubuh lelaki? Biar betul!

Walaupun belum sempat ditayangkan secara rasmi menerusi  saluran Youtube semalam, Shiha Zikir sempat berkongsi sedikit teaser mengenai muzik video tersebut  yang nyata mengundang kontroversi dikalangan netizen.

Lagu bergenre dangdut itu dikatakan mengeksploitasi  tubuh sasa seorang lelaki yang merupakan model dalam klip muzik video tersebut yang kelihatan dalam keadaan separa bogel. Lantas, netizen menyifatkan ianya sebagai keterlaluan dan bertentangan dengan adab Melayu. 

Dan, bagi menjelaskan perkara tersebut, Shiha bagaimanapun meminta peminat agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan muzik video beliau.

” Sudahkah anda melihat muzik video Pipiyama?  Ianya hanya akan dilancarkan pada jam 8 malam ini”

” Jadi bagaimana anda boleh membuat andaian bahawa muzik video itu mengeksploitasi tubuh lelaki dalam keadaan separa bogel?”

“Saya berharap semua peminat menonton terlebih dahulu muzik video tersebut sebelum membuat andaian.” Katanya.

Shiha turut menjelaskan, scene dedah tubuh itu sebenarnya ingin menunjukkan perbezaan di antara lelaki bujang dan duda.

“Lelaki bujang biasanya dikaitkan dengan fizikal dan rupa paras yang kacak. Manakala lelaki berstatus duda, mungkin penampilannya kurang segak tetapi banyak wang.”

” Bagi saya ini adalah satu persepsi yang normal.” Katanya yang mengulas mesej yang disampaikan menerusi  hasil lagu ciptaan komposer dan penulis lirik  dari Seberang, Atra Petrana.

Ditanya adakah lagu ini mempunyai kaitan dengan kehidupan peribadi, Shiha mengakui pernah mengalami situasi ini. Bagaimanapun, Shiha terbuka menerima jodoh sama ada lelaki bujang atau duda asalkan bukan suami orang.

 

Salma Syahbuddin