MV Lip Lap Raya Didakwa Sama Seperti MV Adele? Ini Respons Siti Nurhaliza

Baru-baru ini penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah mengeluarkan sebuah single raya dan muzik video yang bertajuk Lip Lap Raya.

Muzik video tersebut telah meraih lebih 280,000 tontonan dan berada di carta trending YouTube tangga ke-11 selepas dimuat naik pada 20 April.

Namun, muzik video tersebut telah mendapat perhatian netizen kerana didakwa mengambil konsep muzik video penyanyi terkenal, Adele yang berjudul ‘Oh My God’.

Malah, ada yang menganggap muzik video raya yang dikeluarkan kali ini terlalu ‘simple’ dan tidak semeriah tajuk lagu tersebut serta tidak dapat merasakan ‘vibe raya’.

Di Twitter, netizen mempersoalkan dan meluahkan rasa tidak puas hati mengenai konsep yang digunakan dalam muzik video raya Siti kali ini.

Tidak cepat melatah, Siti menjelaskan dengan tenang bahawa konsep muzik video tersebut diserahkan kepada penerbit dan pengarah dan mereka mungkin terinspirasi daripada karya penyanyi antarabangsa.

“Kita ni melihat dan menonton karya-karya artis antarabangsa juga, bukan sahaja Malaysia, luar negara apa semua kita menonton.

“Saya memang menyerahkan kepada producer dan juga pengarah. So, mereka mungkin terinspirasi, rasa saya inspired itu tak salah.

“Janji kita dapat buat satu kelainan yang terbaik untuk karya,” katanya kepada XTRA.

Siti ditemui pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pelantikannya sebagai duta jenama Binary University.

Penyanyi tersohor negara ini mengakui bahawa dia suka dengan konsep muzik video raya kali ini di mana mempunyai kelainan berbanding muzik video raya yang pernah dikeluarkan sebelum ini.

“Saya sukalah, sebab saya dah biasa macam meriah gila ramai orang tiba-tiba tak ramai.

“Masa dia tunjuk tu menarik, bestlah dan saya suka,” katanya lagi.

Walaubagaimanapun, ramai juga yang memuji hasil video dan lagu ini kerana memiliki gabungan dua elemen iaitu moden dan tradisional.

Rata-rata netizen menzahirkan perasaan teruja untuk mendengarkan lagu raya daripada Siti setelah enam tahun tidak mengeluarkan lagu raya.

Atiqah Johari