Nelydia, Raysha Rizrose Dedah Individu Ambil Kesempatan

Sabtu lalu, pelakon adik beradik Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose telah menulis satu entri di Twitter dan Instagram masing-masing mengenai seorang penuntut lelaki sebuah universiti tempatan yang dipercayai terbabit kejadian curi barang kemas milik ibu mereka.

Menurut mereka, bukan sahaja lelaki itu mencuri barang kemas, malah turut mengambil duit mereka sekeluarga dan telah berterusan berkelakuan demikian sepanjang dua tahun perkenalan. 

Memetik laporan Harian Metro, penuntut lelaki yang berasal dari Kuala Terengganu itu  sudahpun dituduh di mahkamah pada Disember lalu. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Amihizam Abdul Syukor berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat seorang wanita berusia 50-an yang memaklumkan kehilangan barang kemas serta mata wang asing yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM200,000 di rumahnya di Taman Subang Mas, Subang Jaya, pada 22 November lalu. 

“Hasil siasatan, kami menahan penuntut universiti itu di Kuala Terengganu, Terengganu pada 6 Disember lalu. 

“Kes sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan suspek dituduh di mahkamah pada 10 Disember lalu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.  Ketika ini, kes berkenaan masih dalam perbicaraan,”katanya ketika dihubungi Harian Metro. 

Nelydia dan Raysha bertindak mendedahkan identiti individu berkenaan sebagai peringatan kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan orang sekeliling dan jangan cepat percaya dengan orang lain.

Kredit Foto: Instagram @raysharizrose 

Del14