Categories: Hiburan

Padat Dengan Mesej Positif, Penyanyi Cilik Timah Ajak Rakyat Malaysia Kembali Ceria

Penyanyi dan pelakon cilik, Fatimah Noryyah Mohd Noor Kosygin atau lebih mesra dengan panggilan Timah, 13, tampil dengan single pertama berjudul Ceria.

Kini bernaung dengan label Rocketfuel Entertainment, lagu Ceria merupakan ciptaan komposer terkenal, MFMF bersama Asyraf Nasir.

“Ceria merupakan sebuah lagu yang dicipta khas bagi meningkatkan mood keceriaan buat semua orang.

“Liriknya menceritakan tentang harapan dan kesyukuran, manakala melodinya berentak pop rancak menimbulkan rasa gembira buat pendengar.

“Timah rasa terpanggil untuk menceriakan suasana murung yang sedang melanda negara. Impian Timah adalah untuk menggembirakan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat menerusi nyanyian.

“Tak mungkin kita akan merasa suram selamanya kerana pasti ada pelangi yang bakal muncul apabila semuanya kembali normal,” kata Timah.

Single yang bergenre pop dansa ini mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berlanjutan. Namun, ia berjaya disempurnakan tanpa sebarang masalah.

“Sewaktu proses rakaman sedang berlangsung, banyak perkara baru yang Timah pelajari. MFMF banyak memberi tunjuk ajar tentang teknik-teknik nyanyian yang betul dan bagaimana memperbaiki mutu nyanyian agar mood yang cuba ditonjolkan ‘timbul’ ketika mendengarnya,” katanya.

Jangan lupa dengarkan Ceria di semua platform penstriman muzik digital dan saksikan video lirik Ceria di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Padin