Pelakon Hollywood Alec Baldwin Tertembak Mati Kru Penggambaran

Satu tragedi telah berlaku melibatkan dua orang kru penggambaran di New Mexico setelah Alec Baldwin menembak pistol prop di dalam penggambaran filem bertemakan abad ke-19 barat bertajuk Rust.

Halyna Hutchins, 42, telah terkena tembakan pistol prop yang ditembak oleh Baldwin ketika bekerja sebagai sinematografer untuk filem ini.

Halyna yang cedera parah di perut mati dalam perjalanannya ke hospital menaiki helikopter.

Manakala pengarah filem tersebut, Joel Souza, 48, yang turut terkena peluru tembakan mengalami kecederaan di bahu sebelum dibawa ke hospital.

Jabatan Polis Santa Fe berkata, Baldwin telah datang berjumpa dengan pegawai detektif secara sukarela.

Baldwin kelihatan menangis ketika dia meninggalkan bangunan Jabatan Polis Santa Fe lapor media tempatan.

Pihak polis sedang cuba mengenalpasti jenis peluru yang digunakan di dalam pistol prop tersebut dan kes masih lagi di dalam siasatan, lapor BBC News.

Sementara itu, Baldwin telah mengekspresikan rasa sedih dan dukacitanya terhadap apa yang berlaku di akaun Twitternya malam tadi.

“Tiada perkataan yang boleh menggambarkan rasa terkejut dan sedih dengan tragedi yang telah mengorbankan Halyna Hutchins, seorang isteri, ibu dan rakan sekerja yang amat kami sayangi.

“Saya memberi kerjasama sepenuhnya dengan polis yang menyiasat kes ini untuk mendapatkan punca kejadian,” katanya.

 


 

“Saya telah berhubung dengan suaminya (Halyna) untuk memberikan sokongan kepada dia dan keluarga. Hati saya hancur mengenangkan suami, anak dan kepada sesiapa yang mengenali Halyna,” tambah Baldwin di dalam Twittternya.

 


Baldwin, 63, yang juga merupakan penerbit bersama filem ini membawa watak seorang penjenayah dalam buruan, mempunyai cucu berumur 13 tahun yang disabitkan dengan kesalahan membunuh.

Set penggambaran Rust dihentikan serta merta untuk memberi laluan penyiasatan dilakukan.

Untuk info, Baldwin telah berada di dalam industri lakonan selama lebih 30 tahun dan antara filem popular yang dilakokannya adalah Beetlejuice, Pearl Harbor dan The Cat in The Hat.

Kredit foto: Jim Weber/ The New Mexican

Arfah