Pelakon yang disyaki menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh ditahan polis pada Sabtu bagi membantu siasatan berhubung kes.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari ketika dia hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Bagimanapun, pelakon tersebut dibebaskan dengan ikat jamin pada hari sama sebaik sahaja selesai diambil keterangan.

Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan mangsa, dua saksi dan suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.

“Polis kemungkinan akan memanggil semula mangsa untuk diambil keterangan lanjut hari ini,” katanya.

Difahamkan, pihak polis sudah mendapatkan laporan awal perubatan mangsa dan disahkan mangsa mengalami kecederaan di pipi.

“Kita akan mendapatkan perintah mahkamah sementara pada esok (Isnin), bertujuan menghalang suami daripada melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sementara siasatan dijalankan polis.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

 

Sumber: Sinar Harian

Salma Syahbuddin