Pemurahnya Hafiz Mahamad… Derma RM100,000 Untuk Cukupkan RM9 Juta Bagi Selamatkan Baby Naail

Pempengaruh dan usahawan terkenal, Hafiz Mahamad telah mendermakan RM100,000 di platform Misi Rakyat bagi mencukupkan dana buat Baby Naail.

Baby Naail atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Naail yang berusia sembilan bulan menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Athropy (SMA) Type 1 hingga mengakibatkan ototnya semakin melemah dan sukar bernafas.

Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Hafiz mahu membantu mereka yang susah dengan niat untuk keluarga, pasukan dan pelanggan jenama kosmetik miliknya, Ainaa Beauty.

“Masya-Allah, Rakyat Malaysia hebat. 5 hari yg lepas, sebak saya melihat update tentang Baby Naail. Isteri saya, dia sedih lihat keadaan anak yg comel tu. Alhamdulilah hari ni dia senyum.

“Saya & kamu (staff) beri kudrat, mereka di luar juga menyokong & sebahagian hasil perniagaan itu kita ‘beri balik’ pada mereka yang memerlukan. Lebih sebak lagi ‘bantuan’ rakyat Malaysia sangat laju Masya-Allah.

“Aku ikhlaskan sebahagian dari perniagaan & aku niatkan untuk keluarga, kamu yang mendoakan, pasukan & customer AINAA. Dengan izin Allah semuanya tentang kejayaan demi kebahagiaan. Terima Kasih rakyat Malaysia,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Video tersebut mendapat pelbagai respons daripada kalangan peminat yang memuji sifat mulia usahawan tersebut.

Malah, ramai yang mendoakan agar Baby Naail mendapat kesembuhan segera.

“Sebab inilah kenapa Islam galakkan umatnya kaya. Kaya untuk beri manfaat. Anak muda contoh yang dulu dikecam kini mampu buktikan kecaman bukan menjatuhkan, tapi mampu membuatkan beliau bangkit.

“Alhamdulilah terima kasih misi sbb buka tabung ni untuk adik Naail. Terima kasih team Ainaa Beauty, customer Ainaa Beauty lovers dan terima kasih untuk semua rakyat Malaysia. Semoga Baby Naail membesar sihat dan berjaya dunia akhirat,” ujar netizen.

Untuk rekod, Baby Naail memerlukan RM9.28 juta untuk mendapatkan rawatan.

Nurul Hana