Pencarian Pengarah Filem Diteruskan Ke Radius 3 KM

Proses pencarian pengarah filem, Pitt Hanif masih diteruskan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang dikhuatiri lemas di Sungai Jelai, Lipis, dalam radius kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Lipis, Deputi Superintendan Azly Mohd Noor berkata, kejadian berlaku berhampiran Jambatan Gemunchur, dekat Mela.

Katanya, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 1 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati bot fiber yang dinaiki mangsa bersama rakannya dikatakan terbalik dan mangsa terus dibawa arus deras manakala rakannya berjaya diselamatkan.

“Operasi mencari dan menyelamat masih lagi dijalankan dan PDRM dengan kekuatan seorang pegawai bersama tujuh anggota serta dua bot terbabit dalam operasi ini,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Difahamkan mangsa adalah anak kepada pelakon Fauziah Nawi iaitu Firdaus Hanif, 43, atau lebih dikenali dengan panggilan Pitt Hanif.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya melakukan pencarian mangsa di permukaan air dengan sebuah bot digerakkan.- Harian Metro.

SGMS Faida