‘Percayakan Cinta’ Taruhan Ke 17 Ajai

Filem Kalla yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam bermula Oktober depan turut menampilkan sebuah single ciptaan komposer Ajai sebagai runut bunyi filem itu.

Kata komposer terkenal itu ketika ditemui di Majlis Pelancaran Filem Kalla: Hidup Atau Mati di Wow KL, pembikinan Percayakan Cinta merupakan karyanya yang ke 17 bagi projek runut bunyi.

“ Kadang-kadang, walaupun kita tahu orang itu sudah tiada, tetapi naluri adakala melawan minda. Kelainan dalam Kalla adalah kekuatan setiap individu untuk mempercayai naluri. 

“ Kisah yang mengangkat agar kita percaya atau mendengar kata hati membuatkan saya faham keseluruhan cerita ini seterusnya tercetus idea menghasilkan Percayakan Cinta,” katanya.

Tambah Ajai, pemilihan penyanyi Hazama dan Noryn Aziz untuk lagu duet ini dibuat berdasarkan kemampuan vokal kedua penyanyi berpengalaman ini.

“ Bukan senang- senang saya mahu ambil penyanyi lelaki dan perempuan dan duetkan. Range suara kedua individu harus serasi.  

“ Matematik’ dalam penghasilan sesebuah lagu juga harus ada. Saya nampak kemampuan kedua penyanyi ini menyempurnakan ‘Percayakan Cinta’ ” katanya.  

SGMS Faida