Pujuk Isteri, Ada Apa Dengan Tajul?

Dalam kehidupan berumah tangga sudah tentu ada pasang surutnya. Itu kenyataan penyanyi Tajul Ariff mengenai perkongsiannya di Instagram, baru-baru ini.

Kata Tajul, dia sedang memujuk isterinya, Nurul Syamieza Eddie pada waktu itu.

“Perkahwinan saya dan isteri baru berusia dua tahun ini. Semestinya, banyak dugaan buat kami.

“Namun, apa yang saya kongsikan dalam penulisan kapsyen foto di akaun IG itu adalah keikhlasan dari hati buat isteri tercinta,” katanya.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Sedalam-Dalam Rindu itu, kehadiran cahaya mata sulung, Adriana Carissa kini berusia dua bulan melengkapkan kebahagiaan rumah tangga mereka.

“Alhamdulillah, rumah tangga saya dan isteri bahagia. Kami juga meraikan ulang tahun perkahwinan pada 10 Disember lalu.

“Saya bersyukur dipertemukan isteri yang baik meskipun selama perkahwinan kami ada salah silap yang dilakukan kepadanya.

“Terus-terang, saya mohon maaf kepada isteri dan sangat menyayangi dirinya yang juga ibu kepada anak kami,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas pengalaman sebagai bapa pada usia masih muda, Tajul berkata, dia bertuah kerana anaknya tidak banyak ragam.

“Setakat ini, Adriana Carissa memang mudah dijaga. Kalau dia berjaga malam pun tidak meragam.

“Tiada masalah untuk saya menguruskan anak pada waktu malam kerana jika bangun dia hanya nak menyusu,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan tidak berkongsi foto penuh anaknya, Tajul berkata, belum tiba masanya lagi.

Katanya, dia ada membuat perancangan istimewa buat anaknya dan sekarang segala urusan masih dalam perbincangan.

Untuk rekod, Tajul dan isteri menimang bayi perempuan sulung mereka yang dilahirkan pada 17 November lalu.

Tajul yang juga adik bongsu Allahyarham Achik Spin sebelum ini merahsiakan perkahwinannya dan hanya membuat pengakuan sekitar Oktober lalu apabila isteri sudah sarat mengandung.

Sementara itu, Tajul baru sahaja muncul dengan lagu solo baru berjudul Ku Sayang Kau Rindu kira-kira empat minggu lalu.

SGMS Faida