“Puteri Sarah Menantu Baik, Kebahagiaannya Tergugat Sebab Penyondol Yang Kejam” – Patimah Ismail

Isteri kepada pengarah dan penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam iaitu Datin Patimah Ismail mencuri perhatian selepas berkongsi beberapa foto bersama keluarga dan menantu kesayangannya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin.

Menerusi hantaran tersebut, Patimah dilihat sangat gembira disamping suami tersayang dan cucu-cucunya.

Malah, dia juga kelihatan sempat merakamkan foto bersama bekas besannya iaitu ibu dan ayah, Puteri Sarah.

“Alhamdulillah, silaturrahim kami teruskan demi cucu-cucu tercinta dan besan yang kami hormati,” katanya.

 

 

Bagaimanapun, perkongsian berkenaan menarik  perhatian selepas Patimah meninggalkan komen pada salah satu foto yang dimuat naik.

Katanya, dia tidak menyokong tindakan anak kandung sendiri selama ini bukan bermakna dia sudah tidak menyayangi anaknya itu.

Bahkan, sokongan padu serta kasih sayang yang tidak pernah putus terhadap Sarah adalah disebabkan aktres itu merupakan menantu dan ibu yang baik.

Namun, Patimah menegaskan, kebahagiaan Puteri Sarah tergugat selepas wujudnya penyondol kejam.

“Tidak sokong anak tidak bermakna tidak sayang.

“Kasih sayang kami kepada Puteri Sarah adalah kerana dia menantu yang menjaga anak-anaknya dengan baik sepanjang bersama Syamsul.

“Namun, kebahagiaannya digugat oleh penyondol kejam,” ulasnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet menyokong tindakan Patimah sekaligus menyifatkan dirinya dan Yusof merupakan contoh terbaik untuk menjadi seorang ayah, ibu dan mentua yang hebat.

“Datuk dan Datin dan juga parents Sarah adalah contoh terbaik. Satu dalam sejuta belum tentu ada yang sama.

“Datuk dan datin boleh dijadikan role model buat semua.

“Inilah contoh mak dan ayah mentua yang terbaik.

“Mentua terbaik! Sentiasa perjuangkan maruah menantu.

“ Sarah hilang satu, tapi dapat kasih sayang dari semua orang,” komen netizen.

Salma Syahbuddin