Puteri Sulung Nana Mahazan Sudah Mula Bertudung – “Dia Buat Keputusan Tanpa Sebarang Paksaan”

Pengacara Nana Mahazan terkejut apabila puteri sulungnya, Althea Raqeem Brian membuat keputusan untuk memakai tudung di usia 12 tahun.

Memetik laporan Harian Metro, pada awalnya dia tidak mengambil serius keinginan anaknya namun sudah hampir empat bulan istiqamah memakainya.

“Dia membuat keputusan itu tanpa sebarang paksaan. Pada awalnya dia bertanya kepada saya adakah setiap wanita perlu memakai tudung selepas datang haid.

“Saya pun menjawab pertanyaannya itu dan memberitahu pemakaian tudung ini adalah wajib bagi wanita untuk menutup aurat. Tapi saya maklumkan padanya yang saya pun mula pakai tudung sejak tahun lalu.

“Ketika saya belum bertudung, dia tidak pernah bertanya mengenai perkara ini. Tapi mungkin selepas melihat saya sudah mula bertudung dan rakan-rakan sekolahnya pun sama membuatkan banyak persoalan bermain dalam fikirannya.

“Alhamdulillah ketika saya menghantar anak-anak ke rumah keluarga kerana saya dan suami pergi bercuti pada Jun lalu, mak saya hantar gambar Athea bertudung dan keesokan harinya ketika mereka pergi mandi sungai pun dia masih nak pakai tudung. Jadi bermula dari situlah dia berhijab sehingga sekarang,” katanya.

Menurut Nana, sebagai ibu dia berasa gembira dan teruja dengan perubahan anak perempuan tercinta dan berharap usahanya kekal.

“Mestilah saya seronok apabila anak nak buat perkara baik. Bayangkan saya beli 14 helai tudung apabila dapat tahu dia nak bertudung.

“Malah saya juga sanggup keluarkan tudung Sisterhood edisi khas sempena nama anak saya kerana dia minat warna-warna yang lebih selamat untuk kegunaan harianya.

“Apapun keputusannya saya nak dia tahu yang saya sentiasa menyokong dan sanggup buat apa saja. Saya juga bersyukur apabila menerima mesej positif daripada peminat mengenai perubahan anak saya ini,” ujarnya.

Sumber: Harian Metro

Maya Basir