Rahsiakan Penceraian, Sam Bunkface Mohon Maaf

Penyanyi Sam dari kumpulan Bunkface memohon maaf kerana menyimpan berita penceraian selama beberapa bulan daripada orang ramai.

Menerusi laman Instagramnya, Sam mengesahkan sudah bercerai sejak Januari lalu di hadapan hakim Mahkamah Syariah.

“Salam, saya di sini Sam ingin mengesahkan bahawa pada Januari lepas Sam dan Aida telah memfailkan penceraian perkahwinan kami di hadapan hakim Mahkamah Syariah.

“Perkahwinan kami yang bertahan selama 4 tahun diakhiri dengan persetujuan bersama dan demi kebaikan diri masing-masing.

“Sam ingin meminta maaf kerana menyimpan berita ini selama beberapa bulan, ini adalah kerana Sam amat menjaga privasi keluarga Sam, dan juga demi perasaan kedua dua belah pihak keluarga Sam dan keluarga Aida,” tulisnya.

Tambah Sam, meskipun tidak lagi bergelar suami isteri, hubungannya bersama bekas isteri masih baik dan berkomunikasi bagi urusan anak.

“Walaupun kini kami tidak lagi tinggal bersama, tetapi hubungan Sam dan bekas isteri masih lagi baik dan kami berhubung bagi urusan menjaga Maleeq.

“Sam ingin berterima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan kepada kami, terutamanya yang sentiasa menyokong karier kami di dalam industri ini.

“Doakan Sam untuk tabah meneruskan perjalanan di bumi Allah ini. Assalamualaikum,” tulisnya lagi.

Semalam, bekas isterinya, Aida mengaku sudah bercerai sejak Januari lalu.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 25 April 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Maleeq yang kini berusia dua tahun.

SGMS Faida