Ramlah Ram Simpan Rambut Dipotong Dalam Kotak, Namun Telah Dilarikan Oleh…

Penyanyi 80-an, Ramlah Ram berkongsi tentang kisah lucu rambut panjang paras pinggang yang dipotong dan disimpan dalam kotak hilang dilarikan tikus.

Memetik laporan Berita Harian, kejadian yang berlaku empat dekad lalu itu masih segar dalam ingatan yang tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila.

“Saya simpan rambut panjang paras pinggang sejak zaman sekolah lagi. Bagaimanapun, saya mengambil keputusan memotong rambut paras bahu selepas aktif dalam bidang nyanyian.

“Keputusan memotong rambut kerana mahu memudahkan saya cepat bersiap. Selalunya, sayalah artis paling lambat bersiap apabila ada acara persembahan.

“Saya tak mahu menyusahkan banyak pihak, saya nekad untuk potong rambut. Disebabkan sayang, sisa rambut saya simpan dalam kotak di kampung untuk dijadikan kenangan.

“Bila saya cari balik, kakak beritahu kotak rambut hilang dilarikan tikus,” katanya.

Menurutnya, dia sekali lagi memotong rambut sehingga paras telinga selepas muncul dengan album kedua yang berjudul Kunci Cintaku Dalam Hatimu pada 1988.

“Kali ini keputusan dibuat oleh syarikat rakaman yang mahu menerbitkan imej segar kepada saya. Sebagai penyanyi, saya ikut apa yang terbaik,” ujarnya.

Sumber: Berita Harian

Maya Basir