Pernah Lalui Pengalaman Pahit Dengan BBNU, Naim Daniel Tak Menyesal ‘Lamar’ Dolla – “Mereka Lain, Sangat Profesional”

Penyanyi Naim Daniel memuji sikap profesional yang ditampilkan oleh kumpulan Dolla semasa mereka bekerjasama merakamkan muzik video lagu duet berjudul ‘Mungkin Ini Lagu Yang Paling Sedih Pernah Ku Buat’.

Pelantun lagu Purnama berusia 24 tahun itu mendedahkan dia pernah berhadapan dengan pelbagai ‘konflik’ ketika bekerja dengan segelintir pendatang baharu dalam industri hiburan.

“Saya seorang pelakon juga, bila kena kerja dengan segelintir orang yang banyak ragam misal kata selalu nak nampak cantik dan ada juga yang tak mengikut arahan.

“Kebanyakkannya BBNU, tapi itu benda dah lepas dan cerita lain la,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, Naim yang pertama kali berkolaborasi dengan Dolla berkata mereka sangat senang untuk bekerjasama dan sangat matang.

“Kami boleh duduk berbincang secara terbuka terima pandangan masing-masing dari segi pakaian dalam muzik video dan semestinya ada kekangan masa kerana jadual masing-masing.

“Tapi saya sangat hormati Dolla, mereka sangat natural. Kalau mereka kena jadi buruk, diorang akan jadi buruk.

“Mereka boleh menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan, dan itu yang buatkan saya senang bekerja dengan mereka. Dolla 100% sangat komited,” katanya.

Naim ditemui ketika majlis pelancaran duet terbaru bersama Dolla menerusi lagu berjudul ‘Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Ku Buat’ baru-baru ini.

Kata Naim, lagu ini pada awalnya ditulis untuk penyanyi lelaki namun setelah difikir panjang dai turut berasa ada elemen baru yang boleh diletakkan.

“Pada awalnya lagu ini dicipta dan sesuai dibawakan oleh penyanyi lelaki tapi dalam masa sama saya rasa ada sesuatu yang boleh ditambah bagi memberi lebih warna.

Artikel Berkaitan: Gandingan Mantap Dengan Naim Daniel Dalam Lagu ‘Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Ku Buat’ Tonjolkan Tone Vokal Sebenar Dolla

“Tiba-tiba saya dapat ilham sekiranya lagu ini dibawakan secara duet oleh penyanyi wanita solo atau berkumpulan.

“Saya memilih DOLLA kerana kumpulan ini memiliki banyak kelebihan yang belum diterokai. Kita sering melihat DOLLA sebagai sebuah kumpulan urban dengan kelincahan aksi tarian mereka, tapi kali ini kita melihat sisi berbeza Dolla dalam membawakan lagu yang penuh emosi,” katanya.

Aqilah Paharuzi