Redha Tapi Rindu…Ali Puteh Tidak Mahu Anak Menderita

Pelawak Ali Puteh (30) tidak dapat menahan tangisan apabila diberitahu anak keduanya, Sharifah Nur Ainul Mardhiah (3 bulan) sudah tiada walaupun sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan setelah diberitahu doktor tentang keadaan bayinya itu. 

Memetik laporan BH Online, Ainul menjalani pembedahan membetulkan injap dan menutup tiga lubang pada jantungnya pada 10 November lalu di Hospital Serdang. Sejak itu, arwah terpaksa bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan. 

Namun kerana keadaan kesihatannya tidak menentu, doktor yang merawatnya membuat keputusan mencabut alat bantuan pernafasan itu jam 10 pagi semalam, 16 hari selepas pembedahan.

“Ketika tiba di hospital jam 9 pagi semalam, Ainul seolah-olah tahu dia akan pergi.  Dia sempat memandang kami dan mengangkat tangan beberapa kali seperti mahu beritahu akan meninggalkan kami. 

“Selepas lebih sejam bertarung nyawa, Ainul pergi buat selama-lamanya. Kami hanya mampu menangis apabila doktor memaklumkan Ainul sudah tiada,” kata Ali Puteh. 

Ainul menghembuskan nafas terakhir jam 11.30 pagi. 

“Ketika jenazah dikafankan, saya beri peluang kepada anak sulung mencium adiknya.  Saya beritahu, Ainul sedang tidur dan akan pergi ke syurga.

“Saya dan isteri redha kerana sejak minggu lalu, doktor meminta kami bersedia dengan sebarang kemungkinan, memandangkan keadaan kesihatan Ainul tidak menentu,” katanya lagi.

Pemilik nama sebenar Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan ini berkata tiada ibu bapa yang mahu kehilangan anak atau melihat anak mereka menderita. 

Biarpun sedih dengan kehilangan puteri kedua mereka, Ali dan isterinya, Melati Puteri Abdullah bersyukur kerana sempat ‘dipinjamkan’ dan menjaga Ainul selama tiga bulan. 

“Adik mesti tengah berlari-lari bermain di taman syurga Allah…tunggu Walid dan ibu di sana ye sayang…perancangan Allah itu sangat hebat…Walid rindu adik…datang dalam mimpi Walid ye sayang,” tulis Ali di dalam kapsyen entri instagramnya yang dikemas kini.

Ainul yang dilahirkan pada 6 Ogos lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak, selepas Asar. 

Pasangan ini mempunyai seorang lagi cahaya mata iaitu kakak kepada Ainul, Sharifah Nur Aaira Qaireen yang berusia dua tahun. 

Kredit Foto: Instagram @aliputeh89

Del14