‘ Remy Ishak Dulu Pun Comot’- Adibah Noor Tak Setuju Kenyataan Pelakon Harus Kacak

Penyanyi dan pengacara Adibah Noor meluahkan rasa kecewa terhadap pandangan mengenai kenyataan produser terkenal, Datuk A. Aida yang berpesan kepada peserta tidak mempunyai rupa agar tidak menyertai ujibakat sebagai pelakon.

Kata Adibah ketika ditemui di Majlis Sidang Media Festival Filem Malaysia 30, beliau berkongsi rasa terkilan apabila melihat industri lakonan yang sepatutnya diisi dengan pelakon berbakat kini majoriti popular atas ‘tiket’ rupa.

“ Saya ada baca kenyataan produser berkenaan mengenai hal ini. Saya difahamkan pihak juri mencari pelapis pelakon seperti Remy Ishak dan Zul Ariffin. Jujurnya, saya mengenali Remy sebelum dia popular.

“ Saya masih ingat sewaktu membuat persembahan di salah sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, Remy masih bekerja sebagai penolak tray angkat pinggan waktu itu. Namun lihat beliau berada di mana sekarang. Selain berbakat, rupa juga boleh ditambah baik. Remy dulu pun comot tau,” katanya berseloroh.

Tambah pelakon filem Talentime ini, adalah menjadi tanggungjawab produser untuk memberi ‘warna’ kepada sesebuah naskah termasuklah pelakonnya.

“ Sebagai produser, anda yang patut groom bintang di bawah filem atau drama terbitan anda. Jika bakat boleh digilap, kenapa rupa tak boleh pula?

 “ Harus ingat, kalau individu itu tampil dengan wajah kacak atau cantik, seandainya drama lakonannya tidak berjaya menarik perhatian penonton, anda juga menghancurkan harapannya selepas itu,” akhirinya memaklumkan hanya berkongsi pendapat peribadi.

Terdahulu, komen Datuk A.Aida mendapat reaksi berbeza apabila memberitahu industri lakonan masa kini memerlukan pelakon utama yang memiliki paras rupa menarik kerana ia adalah ‘bisnes’.

Wartawan: SGMS Enal

SGMS Faida