“Respect To FORCEPARKBOIS From Johor Bahru” – Jay Park Remix Lagu Kumpulan Rapper Tempatan, Bawa FORCEPARKBOIS Ke Mata Dunia Menerusi LOTUS!

Penyanyi rap terkenal kelahiran Korea Selatan, Jay Park membuat penampilan baru di dalam muzik video lagu terbaru berjudul LOTUS di mana lagu ini merupakan sebuah remix lagu LOTUS yang dibawa oleh kumpulan rap Malaysia, FORCEPARKBOIS.

Muzik video yang dikeluarkan oleh syarikat rakaman milik Jay Park, H1ghr Music ini membawakan lapan penyanyi rap hebat dari Korea Selatan iaitu, Jay Park, Park Hyeon Jin, JMIN, BIG Naughty, pH-1, TRADE L, Woodie Gochild dan JAY B.

Menerusi remix lagu ini, Jay Park memulakan baris rapnya dengan berkata ‘Apa khabar Jay Park?’ dan memberikan penghargaan kepada FORCEPARKBOIS atas lagu yang mereka keluarkan.

Remix lagu LOTUS ini membawakan mesej bahawa penyanyi rap dari Asia Tenggara harus bersatu dan menentang segala kecaman yang datang.

Muzik video yang dikeluarkan pada malam 7 Disember ini telah memikat banyak pendengar dari seluruh negara dan berada di tangga ke #10 trending di YouTube setakat artikel ini.

FORCEPARKBOIS yang merupakan penyanyi asal lagu ini adalah kumpulan penyanyi rap bernaung di bawah Warner Music Malaysia.

LOTUS adalah lagu pertama yang dikeluarkan dan telah merekodkan hampir 5 juta pendengar di Spotify dan 15 juta penonton di YouTube.

Mereka juga telah mengeluarkan lima lagu baru tahun ini termasuk WOOSH! SHEESSH FLOW dan Ultra.

Arfah