Bayi Perempuan 4 Bulan Lemah, Pucat Sebelum Meninggal Dunia

Seorang bayi perempuan berusia empat bulan yang dilaporkan lemah ketika berada di rumah pengasuhnya, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban pada Selasa.

Terdahulu, pengasuh itu menghubungi ibu bayi itu pada jam 4.50 petang dan memintanya supaya segera ke rumahnya di Taman Tuanku Jaafar, Senawang kerana bayi itu dalam keadaan lemah.

Menurut ketua polis daerah Seremban, Asisten Komisioner, Nanda Maarof, berdasarkan laporan daripada ibunya, bayi berkenaan pucat dan tidak memberi tindak balas ketika cuba dikejutkan.

“Bayi itu kemudian dihantar ke HTJ untuk mendapatkan rawatan dan diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) ketika tiba di bahagian kecemasan,” katanya

Nanda berkata, wanita itu dimaklumkan oleh petugas hospital bahawa anaknya gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia selepas kira-kira 30 minit diberi rawatan.

“Punca kematian belum diketahui dan sehingga kini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan hasil bedah siasat diperoleh,” katanya.

Sumber: BH

Marcella